Faktor Kes Pembuangan Bayi
Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan
satu perkara yang baru berlaku di negara ini.. Sejak di zaman Arab Jahiliyah
lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap
bayi serta nak-anak perempuan di atas faktor keagamaan masyarakat pada masa
itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum
menganut agama Islam.
Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini
begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas
desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan
hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Zina adalah dosa yang
sangat besar dan sangat keji serta seburuk-buruk jalan yang ditempuh oleh
seseorang, benarlah sepertimana firman
Allah SWT.
Allah
berfirman :
"
Janganlah kamu menghampiri zina . Sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang
keji.
Dan
suatu jalan yang buruk." (Surah Al - Isra' 17 : 32)
Allah
tegaskan supaya kita jangan mulakan zina dengan menghampirinya walaupun
selangkah kerana bermulanya zina maka
bermula lah kes kehamilan luar nikah. Apabila hal ini terjadi, maka picanglah
seluruh kehidupan si gadis itu tambahan pula apabila pihak lelaki tidak mahu
bertangggungjawab maka terpaksa lah gadis itu menanggung bahana akibat berzina
sendirian.
Perasaan
malu, menyesal, sedih, buntu memikirkan masa depan diri sendiri dan anak yang
dikandung mula timbul setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka
tanpa berfikir panjang dan waras, gejala pengguguran serta pembuangan bayi
menjadi salah satu langkah mujarab dalam menutup segala keaiban yang telah
dilakukan oleh manusia itu sendiri.
Mengapa
hal sebegini boleh terjadi dalam masyarakat Islam sekarang? Apa puncanya?
Siapakah yang harus dipersalahkan? Marilah bersama kita bincangkan isu ini
dengan lebih mendalam. Banyak faktor yang mendorong ke arah terjadinya kes ini.
Antaranya ialah
1.
Faktor Individu
Benarlah seperti mana orang selalu katakan jika
kurangnya kefahaman agama di dalam diri seseorang maka akan terjadilah pelbagai
kepincangan dan kerosakan .
Tidak
dapat dinafikan bahawa kesedaran agama di kalangan anggota masyarakat hari ini
begitu memberangsangkan, tetapi semangat itu tidak menyeluruh dan hanya
tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sahaja.
Apabila
kurangnya didikan agama, maka rohani akan sakit, keinginan hidup bertuhan itu
akan menjadi kosong. Apabila perasaan bertuhan tidak ada lagi di dalam diri,
maka nafsu dengan panduan syaitan akan mengambil tempat.
Maka,
apa yang positif dipandang negatif, dan apa yang negatif dipandang positif
boleh menjamin keseronokan, walaupun kadang-kadang mereka mengetahuiperkara
yang mereka lakukan adalah melanggar batas syariat Islam.
Sebagaimana Firman
Allah Swt :
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ
إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ
وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Adakah
kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia
disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya
dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah
lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa
kamu tidak mahu beringat dan insaf?
(Surah Al-Jathiyah ayat 23)
2.
Faktor Keluarga
Ibu bapa pada
zaman sekarang tidak lagi berperanan sebagai pendidik dan penjaga anak-anak
yang terbaik. Dek kerana kekangan tugas-tugas lain hingga melupakan
tanggungjawab yang paling utama iaitu memelihara dan menjaga keluarga
sebaiknya. Itulah yang menjadi punca sebenar berleluasanya kes zina dan
pembuangan bayi kebelakangan ini.
Masyarakat
kini berpegang dengan pendapat bahawa agama menjadi punca sebenar hal ini
berlaku. Ketipisan iman membuatkan
individu tersasar sehingga melakukan zina dan seterusnya sanggup pula membuang
anak yang dikandung.
Pucuk
pangkalnya sesuatu perkara terjadi segalanya bermula dari rumah, kemudian
pengaruh daripada luar contonhya ketika berada di alam persekolahan sebagai
ruang kedua bagi anak-anak mempelajari ilmu kehidupan dan akhirnya akan membawa
ke arah ruang sosial iaitu kehidupan bekerja dan bermasyarakat pula sebagai
pelengkap putaran kehidupan.
Hal
ini bermula apabila sesebuah institusi
keluarga yang tidak berapa sempurna seperti berlakunya penceraian atau
pertengkaran yang kerap antara ibu bapa menjadikan anak-anak tidak lagi
menghormati institusi kekeluargaan.
“Tidak
semestinya ayah seorang imam atau ustaz, maka anak-anak akan menjadi baik.
Pengabaian dari segi komunikasi, sentuhan dalaman dan kasih sayang, tidak
menjadi kawan yang baik dengan anak-anak serta ibu bapa terlalu berautoriti
terhadap anak menyebabkan anak-anak semakin jauh seterusnya tidak lagi
berkongsi masalah dengan ibu bapa.”
Hubungan
yang renggang juga biasanya berlaku kepada anak-anak yang tidak tinggal serumah
dengan ibu bapa kerana menyambung belajar atau bekerja. Anak-anak yang begini
jika dilanda masalah khasnya masalah terlanjur dan mengandungkan anak luar
nikah, mereka akan menjadi buntu. Dek kerana bimbang takut tidak diterima oleh
keluarga, maka mereka menyembunyikan masalah itu sehingga sanggup pula membuang
bayi yang dilahirkan.
Hal
ini berbeza apabila berlaku kepada anak-anak yang mempunyai keluarga yang damai
dan menitikberatkan hubungan yang baik sesama mereka. Hubungan erat antara ibu
bapa dan anak-anak dapat menjadikan
setiap masalah yang berlaku dapat ditangani bersama.
Tidak
dapat dinafikan, ada pihak yang menyatakan bahawa masalah pembuangan bayi ini
juga berpunca daripada isu birokrasi oleh jabatan agama dalam proses mahu
bernikah.
Namun, Prof. Madya Muhammad Kamil menganggap hal itu sengaja
dibesar-besarkan untuk menutup hal yang lebih besar.
“Tidak
kira hal sebesar mana sekalipun, apabila ikatan sesama ahli keluarga erat, maka
mereka akan cuba menyelesaikan masalah itu secara bersama. Ini seterusnya tidak
membebankan pasangan yang mahu bernikah dan seterusnya menjauhkan mereka
daripada zina. Kasih sayang dan perhatian keluarga menjadikan mereka cuba
mengatasi masalah yang timbul secara bersama. Selain ikatan yang longgar dalam
keluarga serta nilai kredibiliti ibu bapa yang merundum, tidak dinafikan juga
terdapat beberapa sebab lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ permasalahan ini.
Cara
hidup masyarakat kini juga boleh dijadikan faktor gejala ini terjadi. Contohnya
melebihkan dan menjadikan budaya Barat dan luar sebagai ikutan serta tidak
mengamalkan cara hidup berlandaskan syariat Islam berpandukan Al Quran dan
Sunnah Rasulullah dapat menjadikan sesuatu masyarakat itu menjadi pincang.
Oleh
kerana kurangnya penghayatan agama dan dangkalnya ilmu agama menjadikan
masyarakat kini sudah tidak menghiraukan dosa pahala, halal haram dan
pembalasan di hari Akhirat. Disebabkan itulah pentingnya ilmu agama dan cara
hidup berlandaskan syariat dipraktikkan dalam keluarga kerana apabila kita
berpegang pada tali Allah dan Sunnah, InsyaAllah kita tidak akan terpesong.
Ibu
bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka.
Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa
yang berkawan dengan anaknya.
Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada
ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan
perempuan.
Didikan
awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan
perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Perintahlah anak-anak kamu
bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat
pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)
Contoh
lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak
boleh bercampur secara bebas ialah
ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.
Sabda
Rasulullah yang bermaksud:
“Sebaik-baik
saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling
belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang
terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitulah
indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan
perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid)
Justeru,
apa yang dapat disimpulkan adalah semua bermula dari rumah. Rumah adalah sebuah
institusi kecil yang menjadi titik pertama sebuah kehidupan. Di situ lahir
seorang manusia yang akan menerima pelajaran pertamanya dari ibu bapa dan dari
kalangan adik beradiknya sendiri.
Dengan
memperkukuhkan sistem kekeluargaan dan nilai yang terkandung di dalamnya, akan
lahir insan yang berkredibiliti. Sama ada individu itu nanti akan menjadi
seorang ayah, ibu, guru, pelajar, pemimpin mahupun ketua negara, bermula dari
rumah yang dipenuhi dengan benih-benih iman dan Islam.
3.
Faktor
penyajian hiburan tanpa batasan
Hiburan tanpa batasan yang disajikan kepada
masyarakat juga boleh dijadikan faktor pemangkin kepada para remaja yang selalu dikategorikan
berdarah panas iaitu sifat suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.
Penayangan
filem-filem yang berunsur lucah, penjualan cd-cd lucah, penyebaran gambar lucah
di dalam internet tanpa kawalan menjadi pemangkin pada penzinaan.
Maka
dari penzinaan tanpa segan silu ini, melahirkan anak-anak luar nikah yang
dibuang merata-rata tempat, yang kadang kala mati menjadi habuan
binatang-binatang liar. Manusia sudah tidak lagi malu sesama manusia, yang
lebih malang, manusia sudah tidak malu kepada Penciptanya. Nauzubillah!
Rosaknya
sistem sosial (akhlak) dalam kalangan
remaja hari ini apabila pergaulan antara lelaki dan perempuan di luar kawalan
dan batasan. Remaja terpengaruh dengan gejala-gejala negatif seperti kumpulan
rempit, heavy metal dan sebagainya. Mereka mengamalkan kehidupan seks bebas.
Natijahnya
hubungan yang dilakukan tanpa norma agama membuahkan hasil. Mereka belum sampai
ke tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Akhirnya mereka melakukan tindakan nekad
dengan membuang bayi yang dihasilkan sewenang-wenang akibat perbuatan yang
terlajak dalam hubungan sosial mereka.
4.
Faktor Masyarakat
Antara sebab
utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat
hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
Persepsi
masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden.
Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar,
melakukan perkara dilarang Islam. Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada
anak muda ini yang tidak segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai. Semua
itu adalah bibit permulaan dosa zina.
Fenomena
terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat
menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.
Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar
sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.
Sikap
‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana
setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan
mencegah yang mungkar.
5. Faktor
Pengaruh Rakan Sebaya
Kerenggangan ikatan keluarga dan
kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat mengadu.
Natijahnya, rakan sebaya menjadi pembimbing atau mentor ke arah pelajaran seks
kerana perasaan ingin tahu dan libido yang meluap tanpa kawalan sehingga
terbabas dengan melakukan amalan seks bebas; termasuk bertukar pasangan secara kerap
dan mudah ditiduri sebarang lelaki, terutama yang mengalami sindrom ketagihan
seks; seperti di kalangan ‘Minah Kilang, Mat Rempit dan Penagih Dadah.’
6.
Faktor Yang
Menyusahkan Perkahwinan
Kos hidup yang tinggi mendorong kos perkahwinan
melonjak secara mendadak terutama bagi mereka yang tinggal di bandar; sedangkan
gaji tidak meningkat menyebabkan pasangan remaja terpaksa menangguh perkahwinan
atau tidak berkahwin kerana faktor ekonomi.
Sebagai
jalan keluar, mereka melakukan hubungan seks di luar nikah. Karenah birokrasi
juga menyebabkan remaja terpaksa mengikuti kursus perkahwinan yang memakan
belanja yang agak besar di samping menampung kos pertunangan dan pelbagai kos
lain, menyebabkan mereka memilih jalan bersekedudukan dalam tempoh yang agak
lama.
7.
Faktor Pengabaian Dalam Memberi Kasih Sayang
Anggapan bahawa wang adalah
segala-galanya menyebabkan jiwa remaja kosong dan mereka cipta pelan
keseronokan mereka sendiri dengan wang yang diberi ibu bapa sehingga akhirnya
mereka terperangkap dalam dunia tanpa sempadan ciptaan mereka. Perceraian
sering menjadi desakan utama remaja yang gelincir kasih sayang dan mencari
tafsiran mereka secara songsang. Manakala bayi yang dilahirkan remaja akan
dipinggirkan oleh keluarga mereka sendiri sehingga tidak mendapat kasih sayang,
terutama yang ditempatkan di rumah kanak-kanak atau pusat perlindungan yang
diwartakan.
8.
Faktor Bapa Biologi Bayi Enggan Bertanggungjawab
Sembilan puluh lima peratus bapa biologi
kepada kanak-kanak yang dilahirkan enggan mengaku anak tersebut anaknya dan
menuduh pasangannya melakukan hubungan jenis dengan lelaki lain sehingga hamil
sekalipun ujian DNA (selepas bayi lahir) membuktikan anak tersebut mempunyai
persamaan DNA melalui kaedah yang disahkan 99.99% tepat.
Tambahan
pula, mengikut agama Islam, bapa biologi boleh bernikah dengan anak perempuan
yang dilahirkan daripada benihnya jika mereka bernikah ketika usia kandungan
enam bulan ke atas.
9.
Faktor Bayi
Cacat Menjadi Beban
Bayi luar nikah yang cacat atau tidak
cukup bulan menjadi beban kepada ibu muda dan keluarga sehingga memerlukan
penjagaan yang rapi menyebabkan mereka memilih untuk membuang bayi berkenaan di
rumah sakit atau kawasan tumpuan awam seperti masjid dan surau. Kebanyakan bayi
yang cacat atau tidak cukup sifat atau pra matang yang dibuang akan maut
sebelum dijumpai orang ramai kerana alahan kepada cuaca.
10.
Faktor Tiada
Know-How Fasiliti Umum
Kekurangan pengetahuan atau know-how
wujudnya Pusat Perlindungan, Kaunseling serta bantuan sokongan menyebabkan
remaja yang mengandung anak luar nikah tidak tahu langkah sesuai untuk
menyelamatkan anak yang mereka kandung; sehingga akhirnya terpaksa menggugurkan
kandungan atau membuang anak sebaik sahaja selepas dilahirkan kerana bimbang
akan menghadapi masa hadapan yang gelap.