Followers


Tuesday 27 November 2012

Kesimpulan Kes Pembuangan Bayi


Secara tuntasnya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat pelbagai informasi berkenaan gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini.  Tiada siapa yang patut menunding jari kepada pihak yang lain kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Usia remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan , kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja, mereka patut membantu golongan remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan negatif. Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli kepada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah. 
Sebagai contohnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.

       Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat juga perlu bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja.

     Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu-padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan kes pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. 

     Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar untuk diubati, secara tidak langsung akan mencemarkan nama negara di mata dunia. Tambahan pula, akan menganggu pembangunan negara ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerana golongan remaja dan muda-mudi yang akan menentukan arah dan merealisasikan misi tersebut kerana mereka merupakan pewaris negara pada masa akan datang

RUJUKAN


Rujukan Utama 


  • Al- Qur’an Al- Karim

Keratan Akhbar


  • Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 6 Ogos 2010. Tajuk: Bayi  Lelaki Berbogel ..
  • Keratan Akhbar Berita Harian, 13 Ogos 2010 - 05:15:51 AM- Artikel Hukuman Mati Kes Buang Bayi..
  • Keratan Akhbar  Utusan Malaysia, 22 Ogos 2010 Tajuk : Tubuh tabung DNA, Wajibkan sample DNA..
  • Keratan Akhbar Harian Metro, 17 September 2012, Tajuk : Campak Bayi Dari Flat..


     Sumber Internet
   

Monday 26 November 2012

Langkah Mengatasi Kes Pembuangan Bayi


Seperti yang kita sedia maklum, remaja merupakan pelapis dan penentu jatuh bangunnya sesebuah Negara pada masa depan. Namun gejala sosial yang menghantui remaja pada masa kini amat menggerunkan kita. Antaranya adalah gejala pembuangan bayi yang dari hari ke hari semakin membimbangkan. Saban hari kes pembungan bayi terpampar di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen. Hal ini mestilah dibendung dengan kadar segera sebelum ianya menjadi lebih serius. Kejadian buang bayi ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat bahawa salah laku seksual semakin merebak. Persoalan utama sekarang bukanlah untuk menunding jari kepada siapa yang paling bersalah dalam hal ini tetapi bagaimana ianya boleh diatasi.            

Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menangani masalah pembuangan bayi ini. Kita tidak seharusnya membiarkan kepada satu pihak sahaja kerana segala usaha hanya akan menjadi sia-sia kerana tiada kerjasama daripada semua pihak seperti kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Golongan yang boleh memainkan peranan antaranya ialah


     

1.   Peranan Pihak Berkuasa Dan Media Massa


         Dalam mengejar arus pemodenan, kemelut pembungan bayi tidak harus dipandang sepi, pihak berkuasa dan media massa haruslah memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini. Pihak media massa hendaklah menyekat program-program hiburan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem yang mengandungi adegan-adegan lucah yang boleh menyebabkan kadar gejala sosial semakin meningkat seterusnya meningkatkan lagi kadar pembuangan bayi.

Langkah pencegahan daripada pihak berkuasa pula adalah dengan menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman maksimum ke atas pasangan yang berzina seperti mengenakan hukuman sebat. Hukuman yang setimpal harus dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja yang terlibat dan juga kepada remaja- remaja yang lain. Secara tidak langsung mungkin ini dapat mengurangkan kes pembungan bayi dan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.

Selain itu, pihak berkuasa juga mestilah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini dan seterusnya dapat menangani masalah ini. Justeru itu, peranan media massa dan media cetak amatlah penting bagi menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. 

Peranan media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan..

2. Peranan Ibu Bapa


        Dalam menangani masalah ini, ibu bapa amat memainkan peranan yang penting dalam mencorak dan mendidik anak-anak mereka. Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Memandangkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak, setiap perlakuan mereka akan mempengaruhi anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa mestilah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. 

Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini demikian untuk mengelakkan mereka dari terjebak dengan pergaulan bebas yang seterusnya boleh membawa kepada penzinaan. Ibu bapa juga haruslah bertindak sebagai kawan kepada anak-anak mereka. Hubungan ibu bapa dengan anak-anak yang erat secara tidak langsung akan memudahkan ibu bapa mengawasi mereka.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah menerapkan nilai-nilai yang murni, memberi sepenuh perhatian, kasih sayang dan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama. Apabila perhatian dan kasih sayang ini diterapkan, maka anak-anak akan merasa mereka dihargai dan disayangai. Ini secara tidak langsung akan mengelakkan mereka tertekan dan seterusnya mengelak daripada aktiviti pergaulan bebas diantara mereka (remaja). Oleh itu, pergaulan boleh dibataskan dan seterusnya gelaja sosial seperti pembungan anak boleh diatasi.

 Kerjasama beberapa institusi di bawah JKM dan NGO yang menyediakan perlindungan dan pencegahan buat remaja yang terlibat dalam mana-mana salahlaku jenayah sangat diharapkan untuk berganding bahu mengatasi masalah ini. Taman-taman Seri Puteri sebanyak 4 buah, sebuah Pusat Penjagaan Sinar Kasih. Taman Seri Puteri menyediakan kemudahan perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak perempuan berumur 18 tahun ke bawah yang hamil atau melahirkan bayi luar nikah. 

Pusat Jagaan Sinar Kasih pula diwujudkan bagi wanita luar nikah berusia 18 tahun ke atas yang memerlukan perlindungan dan penjagaan segera.

Terdapat 55 buah institusi kebajikan, 104 buah pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan 53 Klinik Nur Sejahtera di bawah LPPKN yang bersedia menerima bayi-bayi yang memerlukan perlindungan.Selain daripada itu, JKM juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan sukarela kebajikan bagi membantu membendung masalah ini. Terkini terdapat 8 buah pertubuhan sukarela kebajikan yang menerima geran daripada JKM yang menyediakan pusat perlindungan bagi ibu-ibu muda.

Buat masa kini, JKM dan LPPKN juga mengambil usaha bagi menangani gejala tersebut melalui tindakan seperti berikut:(i) Menyediakan perkhidmatan kaunseling di peringkat negeri dan daerah;(ii) melaksanakan bengkel interaktif melibatkan keluarga dan kanak-kanak;(iii) melaksanakan program pencegahan;(iv) menganjurkan kursus kemahiran keibubapaan; dan(v) mewujudkan pusat remaja, Cafe at Teen.

Kementerian Pelajaran juga telah memperkenalkan program pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT. Pencegahan program ini antaranya mengetengahkan budaya benci kepada masalah sosial dan mengamalkan budaya dan norma masyarakat mengikut susur landasan betul tanpa mengira agama dan bangsa.



3. Penguatkuasaan Undang-Undang


    Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) bayi dibuang ditemui diselamatkan mengikut peruntukan seksyen 17 (1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001. Bayi ini dihantar ke Rumah Kanak-kanak sebagai pusat perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak terbuang. Di bawah undang-undang PDRM, kesalahan membuang bayi diperuntukkan dalam seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya. Sekiranya bayi berkenaan mati tambahan kepada peruntukan ini ialah di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu pesalah mendapat hukuman mati mandatori. Semua penguatkuasaan ini merupakan salah satu mekanisme sekatan formal di dalam aspek kawalan sosial.



4. Peranan Masyarakat 

  

    Persepsi atau stigma masyarakat mestilah diubah dengan tidak terus menghukum mereka yang hamil anak luar nikah tetapi sebaliknya berusaha membantu mereka agar mereka mendapat perlindungan dan menyesali perbuatan mereka. Masyarakat juga mestilah bersifat sensitif dengan apa yang berlaku disekeliling agar gejala ini dapat dibanteras. Masyarakat perlulah peka dengan suasana disekeliling mereka supaya mayarakat dapat bersama- sama mencegah aktiviti yang tidak bermoral ini terus berlaku.



Kesan Kes Pembuangan Bayi



Banyak kesan dapat dilihat bahana daripada akibat gejala pembuangan bayi ini, lebih kesan negatifnya kepada individu, agama, masyarakat dan negara. Antara kesan yang kita boleh lihat

      1.    Kesan Kepada Bayi Yang Dilahirkan


Bayi yang dilahirkan oleh remaja yang terlibat sama ada cukup bulan atau tidak, akan terbiar dan natijahnya terpaksa dibuang bagi menutup malu atau bimbang ditangkap sehingga mendesak mereka membunuh bayi atau meninggalkan bayi di tempat yang sunyi.

Bayi yang terselamat akan mengalami banyak masalah termasuk identifikasi dan mempunyai masa hadapan yang suram dalam masyarakat kerana akan dikategorikan sebagai anak luar nikah atau anak haram.



     2.  Kesan Kepada Ibu Yang Melahirkan


    Ibu yang melahirkan anak berkenaan juga akan mengalami trauma dan tekanan perasaan kerana terpaksa membuang bayi yang demanding selama sembulan bulan Sembilan hari sehingga mengalami kemurungan sepanjang hayat. Besar kemungkinan akan disisihkan masyarakat dan akan menjalani hukuman berat termasuk penjara atau ditempatkan di pusat pemulihan akhlak. 

Kesan lain yang mungkin terjadi ialah risiko untuk menghidap penyakit berjangkit antaranya ialah AIDS/HIV, Hepatitis B, Siphilis akibat daripada aktiviti seks bebas dan aktiviti pengguguran yang kerap



    3.  Kesan Kepada Keluarga Remaja Perempuan


     Masyarakat Malaysia belum dapat menerima hakikat remaja perempuan atau wanita yang hamil di luar nikah. Mereka akan terus mencemuh dan menyisihkan keluarga yang melahirkan anak luar nikah sehingga mereka benar-benar terasing daripada masyarakat. Akibatnya, keluarga remaja yang hamil di luar nikah memilih untuk menghantar anak mereka ke pusat pemulihan akhlak dan ramai memilih jalan menggugurkan kandungan di awal kehamilan.



      4.      Kesan Kepada Agama


     Agama Islam akan dipandan rendah oleh agama lain. Penganut  agama lain akan tidak yakin untuk mempelajari dan mendekati Islam.malah mereka akan meletakkan satu persepsi negatif kepada agama Islam.

Keruntuhan akhlak pada generasi akan datang mungkin akan lebih meruncing.



      5.    Kesan Kepada Masyarakat


     Semua pihak terutamanya masyarakat itu sendiri harus berganding bahu untuk menangani gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kerana masyarakat  akan dipandang serong oleh masyarakat lain.

Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak  bersatu-padu, Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat.
Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati wujudnya pergaduhan dalam masyarakat pasti akan berlaku jika isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum



      6.     Kesan Kepada Negara


     Kerancakkan ekonomi dan pembangunan negara akan terjejas dan terbantut disebabkan masalah sosial yang dialami oleh sesuatu negara.

Hilangnya seorang pemimpin negara pada masa depan disebabkan keruntuhan akhlak anak-anak muda sekarang, yang tidak pandai untuk memikul tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana jatuh dan bangunnya sesebuah negara bergantung kepada akhlak remaja dan generasi pada  waktu sekarang. Negara juga akan kehilangan generasi masa hadapan dan akan mengalami kerugian yang sangat besar kerana generasi pada masa kini tidak mempunyai akhlak baik dan yang diinginkan dan hal ini menyebabkan negara akan kehilangan pemimpin-pemimpin yang berwibawa untuk mentadbir negara.

Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya kuning dan pengaruh budaya barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak-pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan dan juga pihak-pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja-remaja islam terutamanya akan rosak dan binasa.

Perbelanjaan kerajaan juga akan turut meningkat akibat peningkatan kadar jenayah. Kerajaan terpaksa menggunakan belanja yang lebih besar dalam menguruskan remaja-remaja dan bagi mengatasi remaja yang bermasalah ini.


Faktor Kes Pembuangan Bayi


Faktor Kes Pembuangan Bayi 

   Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini.. Sejak di zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan di atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum menganut agama Islam.

    Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Zina adalah dosa yang sangat besar dan sangat keji serta seburuk-buruk jalan yang ditempuh oleh seseorang, benarlah sepertimana  firman Allah SWT.

Allah berfirman :

" Janganlah kamu menghampiri zina . Sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji.
Dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al - Isra' 17 : 32)

Allah tegaskan supaya kita jangan mulakan zina dengan menghampirinya walaupun selangkah kerana  bermulanya zina maka bermula lah kes kehamilan luar nikah. Apabila hal ini terjadi, maka picanglah seluruh kehidupan si gadis itu tambahan pula apabila pihak lelaki tidak mahu bertangggungjawab maka terpaksa lah gadis itu menanggung bahana akibat berzina sendirian.

Perasaan malu, menyesal, sedih, buntu memikirkan masa depan diri sendiri dan anak yang dikandung mula timbul setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka tanpa berfikir panjang dan waras, gejala pengguguran serta pembuangan bayi menjadi salah satu langkah mujarab dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Mengapa hal sebegini boleh terjadi dalam masyarakat Islam sekarang? Apa puncanya? Siapakah yang harus dipersalahkan? Marilah bersama kita bincangkan isu ini dengan lebih mendalam. Banyak faktor yang mendorong ke arah terjadinya kes ini.
 Antaranya ialah

1.     Faktor  Individu

Benarlah seperti mana orang selalu katakan jika kurangnya kefahaman agama di dalam diri seseorang maka akan terjadilah pelbagai kepincangan dan kerosakan .
Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama di kalangan anggota masyarakat hari ini begitu memberangsangkan, tetapi semangat itu tidak menyeluruh dan hanya tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Apabila kurangnya didikan agama, maka rohani akan sakit, keinginan hidup bertuhan itu akan menjadi kosong. Apabila perasaan bertuhan tidak ada lagi di dalam diri, maka nafsu dengan panduan syaitan akan mengambil tempat.
Maka, apa yang positif dipandang negatif, dan apa yang negatif dipandang positif boleh menjamin keseronokan, walaupun kadang-kadang mereka mengetahuiperkara yang mereka lakukan adalah melanggar batas syariat Islam.

Sebagaimana Firman Allah Swt :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?  (Surah Al-Jathiyah ayat 23)


2.     Faktor Keluarga

Ibu bapa  pada zaman sekarang tidak lagi berperanan sebagai pendidik dan penjaga anak-anak yang terbaik. Dek kerana kekangan tugas-tugas lain hingga melupakan tanggungjawab yang paling utama iaitu memelihara dan menjaga keluarga sebaiknya. Itulah yang menjadi punca sebenar berleluasanya kes zina dan pembuangan bayi kebelakangan ini.

Masyarakat kini berpegang dengan pendapat bahawa agama menjadi punca sebenar hal ini berlaku.  Ketipisan iman membuatkan individu tersasar sehingga melakukan zina dan seterusnya sanggup pula membuang anak yang dikandung.
Pucuk pangkalnya sesuatu perkara terjadi segalanya bermula dari rumah, kemudian pengaruh daripada luar contonhya ketika berada di alam persekolahan sebagai ruang kedua bagi anak-anak mempelajari ilmu kehidupan dan akhirnya akan membawa ke arah ruang sosial iaitu kehidupan bekerja dan bermasyarakat pula sebagai pelengkap putaran kehidupan.

Hal ini  bermula apabila sesebuah institusi keluarga yang tidak berapa sempurna seperti berlakunya penceraian atau pertengkaran yang kerap antara ibu bapa menjadikan anak-anak tidak lagi menghormati institusi kekeluargaan.

“Tidak semestinya ayah seorang imam atau ustaz, maka anak-anak akan menjadi baik. Pengabaian dari segi komunikasi, sentuhan dalaman dan kasih sayang, tidak menjadi kawan yang baik dengan anak-anak serta ibu bapa terlalu berautoriti terhadap anak menyebabkan anak-anak semakin jauh seterusnya tidak lagi berkongsi masalah dengan ibu bapa.”
Hubungan yang renggang juga biasanya berlaku kepada anak-anak yang tidak tinggal serumah dengan ibu bapa kerana menyambung belajar atau bekerja. Anak-anak yang begini jika dilanda masalah khasnya masalah terlanjur dan mengandungkan anak luar nikah, mereka akan menjadi buntu. Dek kerana bimbang takut tidak diterima oleh keluarga, maka mereka menyembunyikan masalah itu sehingga sanggup pula membuang bayi yang dilahirkan.

Hal ini berbeza apabila berlaku kepada anak-anak yang mempunyai keluarga yang damai dan menitikberatkan hubungan yang baik sesama mereka. Hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak dapat   menjadikan setiap masalah yang berlaku dapat ditangani bersama.
Tidak dapat dinafikan, ada pihak yang menyatakan bahawa masalah pembuangan bayi ini juga berpunca daripada isu birokrasi oleh jabatan agama dalam proses mahu bernikah. 

Namun, Prof. Madya Muhammad Kamil menganggap hal itu sengaja dibesar-besarkan untuk menutup hal yang lebih besar.

“Tidak kira hal sebesar mana sekalipun, apabila ikatan sesama ahli keluarga erat, maka mereka akan cuba menyelesaikan masalah itu secara bersama. Ini seterusnya tidak membebankan pasangan yang mahu bernikah dan seterusnya menjauhkan mereka daripada zina. Kasih sayang dan perhatian keluarga menjadikan mereka cuba mengatasi masalah yang timbul secara bersama. Selain ikatan yang longgar dalam keluarga serta nilai kredibiliti ibu bapa yang merundum, tidak dinafikan juga terdapat beberapa sebab lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ permasalahan ini.

Cara hidup masyarakat kini juga boleh dijadikan faktor gejala ini terjadi. Contohnya melebihkan dan menjadikan budaya Barat dan luar sebagai ikutan serta tidak mengamalkan cara hidup berlandaskan syariat Islam berpandukan Al Quran dan Sunnah Rasulullah dapat menjadikan sesuatu masyarakat itu menjadi pincang.
Oleh kerana kurangnya penghayatan agama dan dangkalnya ilmu agama menjadikan masyarakat kini sudah tidak menghiraukan dosa pahala, halal haram dan pembalasan di hari Akhirat. Disebabkan itulah pentingnya ilmu agama dan cara hidup berlandaskan syariat dipraktikkan dalam keluarga kerana apabila kita berpegang pada tali Allah dan Sunnah, InsyaAllah kita tidak akan terpesong.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

     Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak  boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid)
Justeru, apa yang dapat disimpulkan adalah semua bermula dari rumah. Rumah adalah sebuah institusi kecil yang menjadi titik pertama sebuah kehidupan. Di situ lahir seorang manusia yang akan menerima pelajaran pertamanya dari ibu bapa dan dari kalangan adik beradiknya sendiri.

Dengan memperkukuhkan sistem kekeluargaan dan nilai yang terkandung di dalamnya, akan lahir insan yang berkredibiliti. Sama ada individu itu nanti akan menjadi seorang ayah, ibu, guru, pelajar, pemimpin mahupun ketua negara, bermula dari rumah yang dipenuhi dengan benih-benih iman dan Islam.


3.     Faktor  penyajian hiburan tanpa batasan

Hiburan tanpa batasan yang disajikan kepada masyarakat juga boleh dijadikan faktor pemangkin kepada  para remaja yang selalu dikategorikan berdarah panas iaitu sifat suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Penayangan filem-filem yang berunsur lucah, penjualan cd-cd lucah, penyebaran gambar lucah di dalam internet tanpa kawalan menjadi pemangkin pada penzinaan.
Maka dari penzinaan tanpa segan silu ini, melahirkan anak-anak luar nikah yang dibuang merata-rata tempat, yang kadang kala mati menjadi habuan binatang-binatang liar. Manusia sudah tidak lagi malu sesama manusia, yang lebih malang, manusia sudah tidak malu kepada Penciptanya. Nauzubillah!

Rosaknya sistem sosial (akhlak)  dalam kalangan remaja hari ini apabila pergaulan antara lelaki dan perempuan di luar kawalan dan batasan. Remaja terpengaruh dengan gejala-gejala negatif seperti kumpulan rempit, heavy metal dan sebagainya. Mereka mengamalkan kehidupan seks bebas.

Natijahnya hubungan yang dilakukan tanpa norma agama membuahkan hasil. Mereka belum sampai ke tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Akhirnya mereka melakukan tindakan nekad dengan membuang bayi yang dihasilkan sewenang-wenang akibat perbuatan yang terlajak dalam hubungan sosial mereka.


4.      Faktor Masyarakat

  Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam. Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai. Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu. Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.


          5.      Faktor  Pengaruh Rakan Sebaya

      Kerenggangan ikatan keluarga dan kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat mengadu. Natijahnya, rakan sebaya menjadi pembimbing atau mentor ke arah pelajaran seks kerana perasaan ingin tahu dan libido yang meluap tanpa kawalan sehingga terbabas dengan melakukan amalan seks bebas; termasuk bertukar pasangan secara kerap dan mudah ditiduri sebarang lelaki, terutama yang mengalami sindrom ketagihan seks; seperti di kalangan ‘Minah Kilang, Mat Rempit dan Penagih Dadah.’


           6.      Faktor Yang Menyusahkan Perkahwinan

Kos hidup yang tinggi mendorong kos perkahwinan melonjak secara mendadak terutama bagi mereka yang tinggal di bandar; sedangkan gaji tidak meningkat menyebabkan pasangan remaja terpaksa menangguh perkahwinan atau tidak berkahwin kerana faktor ekonomi.
Sebagai jalan keluar, mereka melakukan hubungan seks di luar nikah. Karenah birokrasi juga menyebabkan remaja terpaksa mengikuti kursus perkahwinan yang memakan belanja yang agak besar di samping menampung kos pertunangan dan pelbagai kos lain, menyebabkan mereka memilih jalan bersekedudukan dalam tempoh yang agak lama.
  
         
        7.     Faktor Pengabaian Dalam Memberi Kasih Sayang

      Anggapan bahawa wang adalah segala-galanya menyebabkan jiwa remaja kosong dan mereka cipta pelan keseronokan mereka sendiri dengan wang yang diberi ibu bapa sehingga akhirnya mereka terperangkap dalam dunia tanpa sempadan ciptaan mereka. Perceraian sering menjadi desakan utama remaja yang gelincir kasih sayang dan mencari tafsiran mereka secara songsang. Manakala bayi yang dilahirkan remaja akan dipinggirkan oleh keluarga mereka sendiri sehingga tidak mendapat kasih sayang, terutama yang ditempatkan di rumah kanak-kanak atau pusat perlindungan yang diwartakan.


        8.     Faktor Bapa Biologi Bayi Enggan Bertanggungjawab

       Sembilan puluh lima peratus bapa biologi kepada kanak-kanak yang dilahirkan enggan mengaku anak tersebut anaknya dan menuduh pasangannya melakukan hubungan jenis dengan lelaki lain sehingga hamil sekalipun ujian DNA (selepas bayi lahir) membuktikan anak tersebut mempunyai persamaan DNA melalui kaedah yang disahkan 99.99% tepat.
Tambahan pula, mengikut agama Islam, bapa biologi boleh bernikah dengan anak perempuan yang dilahirkan daripada benihnya jika mereka bernikah ketika usia kandungan enam bulan ke atas.
  

       9.       Faktor Bayi Cacat Menjadi Beban

      Bayi luar nikah yang cacat atau tidak cukup bulan menjadi beban kepada ibu muda dan keluarga sehingga memerlukan penjagaan yang rapi menyebabkan mereka memilih untuk membuang bayi berkenaan di rumah sakit atau kawasan tumpuan awam seperti masjid dan surau. Kebanyakan bayi yang cacat atau tidak cukup sifat atau pra matang yang dibuang akan maut sebelum dijumpai orang ramai kerana alahan kepada cuaca.


       10.      Faktor Tiada Know-How Fasiliti Umum

     Kekurangan pengetahuan atau know-how wujudnya Pusat Perlindungan, Kaunseling serta bantuan sokongan menyebabkan remaja yang mengandung anak luar nikah tidak tahu langkah sesuai untuk menyelamatkan anak yang mereka kandung; sehingga akhirnya terpaksa menggugurkan kandungan atau membuang anak sebaik sahaja selepas dilahirkan kerana bimbang akan menghadapi masa hadapan yang gelap.

Pengenalan Kes Pembuangan Bayi






Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi serta sekelian alam, kami dengan rasa rendah hati memanjatkan kesyukuran kepada Ya Ilahi kerana telah memberikan makrifat rezeki yang melimpah ruah, kesihatan yang baik serta perlindungan kepada hamba-hambaNya.

Tujuan blog ini diadakan adalah untuk membicangkan isu-isu semasa yang terjadi dalam masyarakat Islam pada masa kini yang makin meruncing contohnya kes murtad, kes ajaran sesat, kes ilmu hitam, kes pembuangan bayi dan banyak lagi. 

Kumpulan kami telah memfokuskan kepada isu semasa yang berkaitan dengan  kes pembuangan bayi yang telah lama terjadi dan tidak pernah surut malah semakin meruncing dari hari ke hari. Statistik menunjukkan kes pembuangan bayi seperti jadual di bawah. Statistik ini menunujukkan kes pembuangan bayi untuk tempoh  7 tahun (2004-2010) di Malaysia dan statistik mengikut negeri.


Statistik Kes Pembuangan Bayi Tahun 2004-2010

Bil
Tahun
Jumlah
1
2004
78
2
2005
67
3
2006
83
4
2007
76
5
2008
102
6
2009
79
7
2010
91
Jumlah

576

Sumber: PDRM

Berdasarkan statistik 2004-2010 terdapat 576 orang bayi telah dibuang di seluruh negara. Di mana kes tertinggi dicatatkan ialah pada tahun 2008 iaitu 102 orang. Jumlah bagi tahun ialah 2004 (78) orang, 2005 (67)2006 (83), 2007 (76)2008 (102) dan 2010 (91) orang. Purata bagi 7 tahun kes pembuangan bayi ialah 82 orang.

Statistik Pembuangan Bayi Mengikut Negeri Tahun 2009-2010

NEGERI
2009
2010
PULAU PINANG
5
9
KEDAH
3
4
PERLIS
1
0
PERAK
7
7
SELANGOR
16
21
KUALA LUMPUR
0
6
NEGERI SEMBILAN
8
5
MELAKA
0
5
JOHOR
11
10
PAHANG
6
3
TERENGGANU
1
3
KELANTAN
4
4
SABAH
12
6
SARAWAK
5
8
JUMLAH
79
91

Sumber: PDRM

Berdasarkan statistik bagi dua (2) tahun 2009-2010 seramai 170 orang bayi telah dibuang. Iaitu 79 bagi tahun 2009 dan 91 orang bagi tahun 2010. Bagi negeri yang teramai terdapat kes pembuangan bayi ialah Selangor iaitu 37 orang iaitu bagi tahun 2009 (16) orang dan tahun 2010 (21) orang. Ini diikuti oleh Johor melibatkan 21 orang iaitu (2009 (11) orang dan tahun 2010 (10) orang. Seterusnya Sabah pula mencatatkan kes pembuangan bayi seramai 18 orang iaitu tahun 2009 (12) orang dan 2010 (6) orang. Negeri-negeri lain yang mencatatkan kadar pembuangan bayi yang tinggi melebihi 10 orang bagi dua tahun ialah Pulau Pinang 14 orang, Perak 14 orang, Negeri Sembilan 13 orang dan Serawak 13 orang.

Berapa pun jumlah kes pembuangan bayi yang dilaporkan, sebagai umat yang prihatin marilah kita sama-sama berfikir untuk mencari jalan mengatasinya. Jangan biarkan bayi-bayi lain yang belum dilahirkan akan menerima nasib yang sama seperti angka-angka bayi yang disebutkan di atas tadi. Apakah agaknya jawapan yang akan kita berikan dihadapan Allah nanti apabila seluruh bayi-bayi tersebut menuntut haknya diakhirat kelak di hadapan Allah atas kegagalan kita menangani isu sekejam ini.

Antara koleksi berita pembuangan bayi dari hari ke hari boleh di lihat di pautan link ini http://inijalanku.wordpress.com/berita-baru/mayat-bayi-ditemui/










Video Buang Bayi 1 


Video Buang Bayi 2


Nauzubillah!!! 
Tergamaknya manusia-manusia bertopengkan syaitan berhatikan binatang ini memperlakukan bayi-bayi tidak berdosa ini demi untuk menutup keaiban atas kebodohan sendiri??! 
Semoga Allah membalas balasan setimpalnya kepada golongan-golongan ini.
Takbir! Allahuakbar !