Followers


Monday 26 November 2012

Faktor Kes Pembuangan Bayi


Faktor Kes Pembuangan Bayi 

   Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini.. Sejak di zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan di atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum menganut agama Islam.

    Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Zina adalah dosa yang sangat besar dan sangat keji serta seburuk-buruk jalan yang ditempuh oleh seseorang, benarlah sepertimana  firman Allah SWT.

Allah berfirman :

" Janganlah kamu menghampiri zina . Sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji.
Dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al - Isra' 17 : 32)

Allah tegaskan supaya kita jangan mulakan zina dengan menghampirinya walaupun selangkah kerana  bermulanya zina maka bermula lah kes kehamilan luar nikah. Apabila hal ini terjadi, maka picanglah seluruh kehidupan si gadis itu tambahan pula apabila pihak lelaki tidak mahu bertangggungjawab maka terpaksa lah gadis itu menanggung bahana akibat berzina sendirian.

Perasaan malu, menyesal, sedih, buntu memikirkan masa depan diri sendiri dan anak yang dikandung mula timbul setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka tanpa berfikir panjang dan waras, gejala pengguguran serta pembuangan bayi menjadi salah satu langkah mujarab dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Mengapa hal sebegini boleh terjadi dalam masyarakat Islam sekarang? Apa puncanya? Siapakah yang harus dipersalahkan? Marilah bersama kita bincangkan isu ini dengan lebih mendalam. Banyak faktor yang mendorong ke arah terjadinya kes ini.
 Antaranya ialah

1.     Faktor  Individu

Benarlah seperti mana orang selalu katakan jika kurangnya kefahaman agama di dalam diri seseorang maka akan terjadilah pelbagai kepincangan dan kerosakan .
Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama di kalangan anggota masyarakat hari ini begitu memberangsangkan, tetapi semangat itu tidak menyeluruh dan hanya tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Apabila kurangnya didikan agama, maka rohani akan sakit, keinginan hidup bertuhan itu akan menjadi kosong. Apabila perasaan bertuhan tidak ada lagi di dalam diri, maka nafsu dengan panduan syaitan akan mengambil tempat.
Maka, apa yang positif dipandang negatif, dan apa yang negatif dipandang positif boleh menjamin keseronokan, walaupun kadang-kadang mereka mengetahuiperkara yang mereka lakukan adalah melanggar batas syariat Islam.

Sebagaimana Firman Allah Swt :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?  (Surah Al-Jathiyah ayat 23)


2.     Faktor Keluarga

Ibu bapa  pada zaman sekarang tidak lagi berperanan sebagai pendidik dan penjaga anak-anak yang terbaik. Dek kerana kekangan tugas-tugas lain hingga melupakan tanggungjawab yang paling utama iaitu memelihara dan menjaga keluarga sebaiknya. Itulah yang menjadi punca sebenar berleluasanya kes zina dan pembuangan bayi kebelakangan ini.

Masyarakat kini berpegang dengan pendapat bahawa agama menjadi punca sebenar hal ini berlaku.  Ketipisan iman membuatkan individu tersasar sehingga melakukan zina dan seterusnya sanggup pula membuang anak yang dikandung.
Pucuk pangkalnya sesuatu perkara terjadi segalanya bermula dari rumah, kemudian pengaruh daripada luar contonhya ketika berada di alam persekolahan sebagai ruang kedua bagi anak-anak mempelajari ilmu kehidupan dan akhirnya akan membawa ke arah ruang sosial iaitu kehidupan bekerja dan bermasyarakat pula sebagai pelengkap putaran kehidupan.

Hal ini  bermula apabila sesebuah institusi keluarga yang tidak berapa sempurna seperti berlakunya penceraian atau pertengkaran yang kerap antara ibu bapa menjadikan anak-anak tidak lagi menghormati institusi kekeluargaan.

“Tidak semestinya ayah seorang imam atau ustaz, maka anak-anak akan menjadi baik. Pengabaian dari segi komunikasi, sentuhan dalaman dan kasih sayang, tidak menjadi kawan yang baik dengan anak-anak serta ibu bapa terlalu berautoriti terhadap anak menyebabkan anak-anak semakin jauh seterusnya tidak lagi berkongsi masalah dengan ibu bapa.”
Hubungan yang renggang juga biasanya berlaku kepada anak-anak yang tidak tinggal serumah dengan ibu bapa kerana menyambung belajar atau bekerja. Anak-anak yang begini jika dilanda masalah khasnya masalah terlanjur dan mengandungkan anak luar nikah, mereka akan menjadi buntu. Dek kerana bimbang takut tidak diterima oleh keluarga, maka mereka menyembunyikan masalah itu sehingga sanggup pula membuang bayi yang dilahirkan.

Hal ini berbeza apabila berlaku kepada anak-anak yang mempunyai keluarga yang damai dan menitikberatkan hubungan yang baik sesama mereka. Hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak dapat   menjadikan setiap masalah yang berlaku dapat ditangani bersama.
Tidak dapat dinafikan, ada pihak yang menyatakan bahawa masalah pembuangan bayi ini juga berpunca daripada isu birokrasi oleh jabatan agama dalam proses mahu bernikah. 

Namun, Prof. Madya Muhammad Kamil menganggap hal itu sengaja dibesar-besarkan untuk menutup hal yang lebih besar.

“Tidak kira hal sebesar mana sekalipun, apabila ikatan sesama ahli keluarga erat, maka mereka akan cuba menyelesaikan masalah itu secara bersama. Ini seterusnya tidak membebankan pasangan yang mahu bernikah dan seterusnya menjauhkan mereka daripada zina. Kasih sayang dan perhatian keluarga menjadikan mereka cuba mengatasi masalah yang timbul secara bersama. Selain ikatan yang longgar dalam keluarga serta nilai kredibiliti ibu bapa yang merundum, tidak dinafikan juga terdapat beberapa sebab lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ permasalahan ini.

Cara hidup masyarakat kini juga boleh dijadikan faktor gejala ini terjadi. Contohnya melebihkan dan menjadikan budaya Barat dan luar sebagai ikutan serta tidak mengamalkan cara hidup berlandaskan syariat Islam berpandukan Al Quran dan Sunnah Rasulullah dapat menjadikan sesuatu masyarakat itu menjadi pincang.
Oleh kerana kurangnya penghayatan agama dan dangkalnya ilmu agama menjadikan masyarakat kini sudah tidak menghiraukan dosa pahala, halal haram dan pembalasan di hari Akhirat. Disebabkan itulah pentingnya ilmu agama dan cara hidup berlandaskan syariat dipraktikkan dalam keluarga kerana apabila kita berpegang pada tali Allah dan Sunnah, InsyaAllah kita tidak akan terpesong.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

     Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak  boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid)
Justeru, apa yang dapat disimpulkan adalah semua bermula dari rumah. Rumah adalah sebuah institusi kecil yang menjadi titik pertama sebuah kehidupan. Di situ lahir seorang manusia yang akan menerima pelajaran pertamanya dari ibu bapa dan dari kalangan adik beradiknya sendiri.

Dengan memperkukuhkan sistem kekeluargaan dan nilai yang terkandung di dalamnya, akan lahir insan yang berkredibiliti. Sama ada individu itu nanti akan menjadi seorang ayah, ibu, guru, pelajar, pemimpin mahupun ketua negara, bermula dari rumah yang dipenuhi dengan benih-benih iman dan Islam.


3.     Faktor  penyajian hiburan tanpa batasan

Hiburan tanpa batasan yang disajikan kepada masyarakat juga boleh dijadikan faktor pemangkin kepada  para remaja yang selalu dikategorikan berdarah panas iaitu sifat suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Penayangan filem-filem yang berunsur lucah, penjualan cd-cd lucah, penyebaran gambar lucah di dalam internet tanpa kawalan menjadi pemangkin pada penzinaan.
Maka dari penzinaan tanpa segan silu ini, melahirkan anak-anak luar nikah yang dibuang merata-rata tempat, yang kadang kala mati menjadi habuan binatang-binatang liar. Manusia sudah tidak lagi malu sesama manusia, yang lebih malang, manusia sudah tidak malu kepada Penciptanya. Nauzubillah!

Rosaknya sistem sosial (akhlak)  dalam kalangan remaja hari ini apabila pergaulan antara lelaki dan perempuan di luar kawalan dan batasan. Remaja terpengaruh dengan gejala-gejala negatif seperti kumpulan rempit, heavy metal dan sebagainya. Mereka mengamalkan kehidupan seks bebas.

Natijahnya hubungan yang dilakukan tanpa norma agama membuahkan hasil. Mereka belum sampai ke tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Akhirnya mereka melakukan tindakan nekad dengan membuang bayi yang dihasilkan sewenang-wenang akibat perbuatan yang terlajak dalam hubungan sosial mereka.


4.      Faktor Masyarakat

  Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam. Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai. Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu. Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.


          5.      Faktor  Pengaruh Rakan Sebaya

      Kerenggangan ikatan keluarga dan kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat mengadu. Natijahnya, rakan sebaya menjadi pembimbing atau mentor ke arah pelajaran seks kerana perasaan ingin tahu dan libido yang meluap tanpa kawalan sehingga terbabas dengan melakukan amalan seks bebas; termasuk bertukar pasangan secara kerap dan mudah ditiduri sebarang lelaki, terutama yang mengalami sindrom ketagihan seks; seperti di kalangan ‘Minah Kilang, Mat Rempit dan Penagih Dadah.’


           6.      Faktor Yang Menyusahkan Perkahwinan

Kos hidup yang tinggi mendorong kos perkahwinan melonjak secara mendadak terutama bagi mereka yang tinggal di bandar; sedangkan gaji tidak meningkat menyebabkan pasangan remaja terpaksa menangguh perkahwinan atau tidak berkahwin kerana faktor ekonomi.
Sebagai jalan keluar, mereka melakukan hubungan seks di luar nikah. Karenah birokrasi juga menyebabkan remaja terpaksa mengikuti kursus perkahwinan yang memakan belanja yang agak besar di samping menampung kos pertunangan dan pelbagai kos lain, menyebabkan mereka memilih jalan bersekedudukan dalam tempoh yang agak lama.
  
         
        7.     Faktor Pengabaian Dalam Memberi Kasih Sayang

      Anggapan bahawa wang adalah segala-galanya menyebabkan jiwa remaja kosong dan mereka cipta pelan keseronokan mereka sendiri dengan wang yang diberi ibu bapa sehingga akhirnya mereka terperangkap dalam dunia tanpa sempadan ciptaan mereka. Perceraian sering menjadi desakan utama remaja yang gelincir kasih sayang dan mencari tafsiran mereka secara songsang. Manakala bayi yang dilahirkan remaja akan dipinggirkan oleh keluarga mereka sendiri sehingga tidak mendapat kasih sayang, terutama yang ditempatkan di rumah kanak-kanak atau pusat perlindungan yang diwartakan.


        8.     Faktor Bapa Biologi Bayi Enggan Bertanggungjawab

       Sembilan puluh lima peratus bapa biologi kepada kanak-kanak yang dilahirkan enggan mengaku anak tersebut anaknya dan menuduh pasangannya melakukan hubungan jenis dengan lelaki lain sehingga hamil sekalipun ujian DNA (selepas bayi lahir) membuktikan anak tersebut mempunyai persamaan DNA melalui kaedah yang disahkan 99.99% tepat.
Tambahan pula, mengikut agama Islam, bapa biologi boleh bernikah dengan anak perempuan yang dilahirkan daripada benihnya jika mereka bernikah ketika usia kandungan enam bulan ke atas.
  

       9.       Faktor Bayi Cacat Menjadi Beban

      Bayi luar nikah yang cacat atau tidak cukup bulan menjadi beban kepada ibu muda dan keluarga sehingga memerlukan penjagaan yang rapi menyebabkan mereka memilih untuk membuang bayi berkenaan di rumah sakit atau kawasan tumpuan awam seperti masjid dan surau. Kebanyakan bayi yang cacat atau tidak cukup sifat atau pra matang yang dibuang akan maut sebelum dijumpai orang ramai kerana alahan kepada cuaca.


       10.      Faktor Tiada Know-How Fasiliti Umum

     Kekurangan pengetahuan atau know-how wujudnya Pusat Perlindungan, Kaunseling serta bantuan sokongan menyebabkan remaja yang mengandung anak luar nikah tidak tahu langkah sesuai untuk menyelamatkan anak yang mereka kandung; sehingga akhirnya terpaksa menggugurkan kandungan atau membuang anak sebaik sahaja selepas dilahirkan kerana bimbang akan menghadapi masa hadapan yang gelap.

No comments:

Post a Comment